Thursday, June 19, 2008

"NASIB ohhhhhhhh NASIB"



Hari ini saya berkesempatan untuk ke cyber café di Pekan Parit Yusuf yang merupakan tempat yang kerap saya kunjungi untuk melayari internet. Biasalah bagi saya kerana dirumah tiada talian internet. Dan di situlah saya kerap berkunjung. Tujuan saya ke sana adalah untuk menyemak keputusan kemasukan ke universiti bagi sesi 2008/2009 di mana kemasukan pelajarnya adalah pada hujung bulan ini. Seperti orang lain juga, saya berasa takut untuk melihat keputusan itu. Almaklumlah ramai lagi yang bersaing untuk mendapatkan tempat di setiap universiti yang di minta.

Seperti kebiasaannya saya memilih PC 4 kerana internet bagi PC itu laju. Saya mula klik pada ikon Internet Explorer lalu menaip laman web kementerian pengajian tinggi. Selepas itu saya klik pada semakan keputusan kemasukan ke IPTA sesi 2008/2009 bagi kategori lepasan STPM dan setaraf. Hati saya semakin berdebar-debar untuk menyaksikan keputusan itu. Saya menjadi takut untuk memasukkan nombor kad pengenalan dan juga angka giliran peperiksaan. Namun begitu saya tetap memberanikan diri untuk memasukkannya. Sesaat butang “ENTER” di tekan saya menutup mata kerana takut untuk melihat keputusan yang bakal saya terima. Alangkah kecewanya saya sebaik mata dibuka, permohonan saya tidak diterima. “ DUKACITA dimaklumkan anda tidak berjaya ditawarkan ke IPTA sila rujuk pada e-Rayuan……..”.

Rasa sedih turut menyelubungi jiwa saya. Harapan untuk belajar di universiti berkecai sudah. Apa lagi yang boleh dibuat. Dah nasib badan. Sejenak saya mula berfikir “adakah saya tak layak nak masuk ke universiti. Atau keputusan saya ketika STPM dulu tak melayakkan saya untuk masuk. Atau ………………………”. Tapi tak mungkin…..

Sebaik melihat rakan yang lain menyemak keputusan mereka saya mula teringat sesuatu. Adakah ketika proses temuduga program





IJAZAH SARJANA MUDA TEKNOLOGI KREATIF & ARTISTIK (TEATER) di UiTM Kampus Puncak Perdana tempoh hari saya tak lakukan dengan baik? Atau penemuduga sengaja menggagalkan saya? Atau mereka lihat saya tidak berbakat? Atau sijil-sijil yang saya tunjukkan kepada mereka tidak diterima? Atau mereka lihat saya ni tak layak? Tak mungkin. Tapi apa yang menggagalkan saya ya?

Biarlah itu menjadi sejarah bagi saya. Pasti ada jalan lain yang bakal terbentang luas dihadapan saya. Kita hanya merancang tuhan yang tentukan. Takdir dah ditentukan.

Saturday, June 14, 2008

"Antologi Suara Bukit Timbalan"

Antologi Puisi Suara Bukit Timbalan ini adalah usaha Mohd Rosli Bakir, Siti Hadijah Sunok dan dibantu oleh Hamzah Hamdani. Kesungguhan mereka wajar dihargai dalam memperkaya penghasilan puisi-puisi. Antologi Puisi Suara Bukit Timbalan ini menampilkan penulis-penulis yang merupakan anak jati negeri johor. Antologi ini diterbitkan adalah lambang signifikan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia. Antologi ini turut menyelitkan 2 buah puisi yang merupakan hasil karya bekas guru di sekolah saya sendiri. Mereka ialah Cikgu Taufek Mahamud dan juga Cikgu Sulaiman Md Nor. Saya sangat berbangga kerana negeri johor mempunyai ramai penulis. Dan saya berharap agar suatu hari nanti karya yang saya hasilkan akan dapat diterbitkan oleh mana-mana pihak. InsyaAllah


Mohd Taufek Mahamud
Tekad Bangsa

Telah terbukti dilembar sejarah
kita adalah warga jati diri gemilang
yang lahir dari kandungan negeri bermukim segala
keberanian
lalu bermaknakan erti merdeka tinggalan warisan
pejuang
untuk mengukir tamadun membina kota warisan

Telah kita semai benih terpilih
menjadi bunga harapan yang mekar ditaman peradaban
wanginya harum merentasi sempadan
ibarat perwira yang menggalas tekad misi keamanan
memperteguh rasa kemanusiaan di gelanggang
kedamaian

Telah kita gembleng iltizam memartabatkan bangsa
berpaksi budaya mulia menjunjung agama mulia
menabur benih-benih jasa memakmurkan nusa
menjana kecemerlangan memacu tenaga ke menara
merdeka

Malaysia tercinta gagah gemilang
mengukuh perpaduan menggapai kemakmuran
mengisi daulat maruah negara perkasa generasi
berjaya



Sulaiman Md Nor
Bentala Johor Tercinta


Haruman mekar mewangi namamu di persada ini
membentuk kemilau martabat bangsa
menjunjung gah warna bahaduri

Betapa sejahteranya watan tercinta meniti arus
peradaban
tanpa resah
tanpa kata gundah
tanpa ada musibah
haluannya menara terindah puncak terarah
pucuk bermaruah

Indahnya kiraanamu mengukir nada penuh ibadat
terungkap senandung atas nama bahari
mentakhlikkan wajah-wajah penuh semarak
wajah-wajah padat tasdik
wajah-wajah mutlak kehendak

Di mana buana diinjak di situ jumantara
dijunjung
kilauan permata tak pernahhilang dari lipatan
sejarah
menggalas kehangatan tanah pertiwi
menelusuri panasnya jiwa merdeka
mewariskan takhta perjuangan yang tidak
kunjung padam
mendewasakan keringat gugur penuh nama restu
menjernihkan kepulan awan mencorak ukiran
pelangi
kekal indah dalam taman kepastian

Puteri Gunung Ledang lagendanya terkarang
Tanah Bentan lambang kedaulatan bangsa terbilang
Tanjung Penawar Tanjung Pengelih tampil tidak beralih
Bandar Maharani namamu terpamer hingga kini
Batu Hampar Batu Sawar asal-usulmu pasti tak pudar
Batu Pahat Kluang ada cerita tak pernah hilang
Tanjung Puteri siuman dalam adunan rentak berseri

Bentala johor makmurmu sejagat tuah gemilang
molekmu gegar seluruh alam
mekar menjurus hala tampak sinar

"GENDANG ASWARA"

Di sinilah tempatnya yang menyimpan segala khazanah warisan budaya negara, pusat rujukan dan pembelajaran dalam bidang seni, ASWARA menyaksikan kelahiran generasi baru bergelar karyawan, seniman serta penggiat seni.

Pertama kali menjejakkan kaki di halaman ASWARA, saya sukar mengalih pandangan daripada menatap kagum bangunan utama berbentuk rebana ubi. Bangunan utama itu adalah perpustakaan. la dibina setinggi enam tingkat dan berdinding kaca, seni binanya sengaja diilhamkan sebegitu sebagai lambang kepada alat muzik tradisional Melayu.
Melalui binaan perpustakaan bentuk rebana ubi, ASWARA terus gah demi memartabatkan seni budaya bersama para pendidik yang bertekad untuk mengembangkan warisan seni dan juga sebagai sumber maklumat serta pusat pendidikan seni budaya dan warisan Melayu terulung.
Mengetengahkan logo berbentuk pohon beringin atau gunung yang membawa maksud lambang kejayaan dalam wayang kulit. la dilihat sebagai puncak kejayaan dan payung yang menaungi kehidupan. Simbol puncak dan naungan inilah menjadi lambang ASWARA bagi menyatakan ilmu sebagai unsur paling bernilai dalam hidup seseorang, ia diilhamkan oleh Seniman Negara Pertama, Allahyarham Hamzah Awang Amat.

Corak beralun pada dinding bangunan dikaitkan dengan gelombang bunyi rebana ubi yang dipalu, menyemarakkan lagi seruan atau panggilan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu dalam bidang yang dimaksudkan. Matlamat utama ASWARA adalah menjadi institusi induk pengajian dan latihan seni serta budaya terunggul di rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, pembinaan kampus tetap ASWARA sangat dialu-alukan kerana bertujuan menyediakan prasarana sesuai untuk pelaksanaan program latihan dalam bidang pendidikan kesenian. Kerajaan bersetuju membina kampus tetap ASWARA supaya matlamat menyediakan bimbingan dan latihan bermutu dalam bidang kesenian kebudayaan dan warisan dapat dilaksanakan.

Rentetan sejarah penubuhan ASWARA bermula pada 1971 dengan Resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Pada 16 Mei 1990 jemaah menteri membuat keputusan supaya ditubuhkan sekolah seni persembahan (school of fine art). Lalu ditubuhkan Urusetia Penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) di Bahagian Kebudayaan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) di Tingkat 34 Menara Datuk Onn pada 1993.

Tarikh keramat 10 Julai 1994 menyaksikan pendaftaran pelajar pertama ASK peringkat diploma di kampus sementaranya di Kompleks Budaya Negara, Jalan Tun Ismail. Upacara konvo pertama ASK pula diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) pada 1998 manakala pelaksanaan program sijil berkuat kuasa pada 1999. Dalam tahun 2002, JPA dan Kementerian Pendidikan mengiktiraf program diploma ASK dan pada tahun 2005 pula Akademi Filem Malaysia diserapkan ke dalam ASK di bawah Jabatan Filem, TV dan Video. Pada 1 Ogos lalu ASK dinaik taraf menjadi ASWARA, ditadbir oleh Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 dibawah kuasa-kuasa MKKDW.

Sebuah IPT bertaraf universiti, kini ASWARA berada di lokasi 464, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur yang dahulunya menempatkan Kompleks Budaya Negara. Kampus yang terletak berhampiran padang Merbuk berkeluasan 3.318 hektar itu memiliki 11 blok berukuran 8,537.8 meter persegi bagi memenuhi keperluan dan kemudahan pembelajaran bidang pengajian tari, teater, penulisan,muzik, filem, tv serta video. Antara yang disediakan seperti dewan kuliah, bilik seminar, makmal komputer, dewan orkestra, bengkel pertukangan, studio tari, studio teater, studio wayang kulit, studio gamelan/cak lempong, studio rekaan grafik, perpustakaan, studio rakaman dan asrama.

Melengkapi segala kemudahan terbaru itu, Panggung Eksperimen yang penuh sejarah dan berusia 13 tahun kini dilengkapi kecanggihan sistem audio, sistem lampu dan sistem rakaman pelbagai trek audio di samping sistem Multi Camera Production (MCP) bernilai RM 1.4 juta.
Memenuhi tuntutan pembelajaran muzik, ASWARA juga menyediakan Dewan Orkestra yang mempunyai sistem akustik, sistem audio, sistem lampu dan sistem rakaman pelbagai trek audio bernilai RM 1.48 juta. Para pelajar juga disediakan kemudahan bilik latihan individu lengkap dengan sistem akustik kemudahan studio rakaman audio yang canggih bernilai RM1 juta bersama sistem rakaman digital pelbagai trek.

Pelajar teater pula disediakan dengan Black Box (makmal teater) yang mempunyai sistem akustiknya berserta kemudahan teknikal sistem audio dan sistem lampu bernilai RM550,000. Manakala pelajar di bawah pengajian Filem dan Video tidak diabaikan apabila ASWARA memenuhi tuntutan pembelajaran mereka dengan makmal komputer animasi dan sistem Non Linear Editing bernilai RM600,000.

Pun begitu segala peralatan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan pengajaran dan pembelajaran serta pertambahan jumlah pelajar. ASWARA menawarkan program pengajian dari peringkat sijil dengan tempoh pengajian selama 14 minggu iaitu, Sabtu dan Ahad; peringkat diploma iaitu, pengajian selama tiga tahun (enam semester) dan kemasukannya setahun sekali serta peringkat ijazah. Terdapat lima bidang untuk peringkat Diploma iaitu, Jabatan Teater, Jabatan Penulisan, Jabatan Tari, Jabatan Filem dan Video dan Jabatan Muzik. Dua pengajian baru diperkenalkan iaitu, Pengajian Warisan (Pemuziuman dan Kearkiban) dan Pengajian Seni Halus. Untuk mendapatkan maklumat lanjut layari laman web ASWARA http://www.aswara.edu.my/.



Bangunan perpustakaan ASWARA diilhamkan daripada rekabentuk rebana ubi

Kawasan rehat bagi pelajar ASWARA


Tempat pelajar berbincang dan mencari ilmu


Bumbung berlapis dan berlebar layar mengindahkan seni bina bangunan di situ





Bahagian dalam perpustakaan menjelaskan lagi keindahan senibina bangunan

Panggung eksperimen telah menjadi pusat aktiviti seni




Dewan Orkestra




Irama dan Lagu tidak dapat dipisahkan





Persembahan bangsawan

Persembahan wayang kulit ASWARA

Pemantauan Sistem Audio

SEMUANYA ADA DI SINI

Link Post: http://www.heritage.gov.my/upload/keratan_akhbar/2007/200704AnjungSeri02/

Monday, June 9, 2008

"Pengenalan Kesusasteraan Melayu Moden" - MOHAZRIE

KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

PENGENALAN

Kesusasteraan dalam pendekatan moden ditakrifkan sebagai hasil karya individu yang mengumpul segala bentuk pengalaman, perasaan dan pemikiran, yang secara intelektual menggabungkan estetik, imaginasi dan ilusi pengarang sebagai teks diri dan ideologi, budaya sejarah dan moraliti zaman sebagai teks sosial yang secara modifikasi meresap masuk ke dalam karya sastera. Teks sastera dikatakan merentasi pelbagai cabang isian ilmu, termasuk sains sosia, ekonomi, matematik, politik, agama dan sebagainya.

JENIS KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

Kesusasteraan Melayu moden adalah karya-karya yang dianggap mempunyai ciri-ciri sastera mengikut ukuran barat dan universal. Pada peringkat awal memanglah pengarang-pengarang tidak menyedari atau memahami hakikat sastera. Akan tetapi apabila masyarakat bertambah maju muncullah pengarang-pengarang yang mengambil berat mutu-mutu karya mereka.

Novel, sajak, cerpen dan drama adalah genre sastera yang bermodelkan genre-genre sastera barat. Muhammad Affendi Hassan menyebut bahawa karya-karya sastera melayu moden adalah karya-karya tiruan. Walaupun pendapat Muhammad Affendi itu ada benarnya, ini tidak bermakna karya-karya Melayu moden itu tidak asli. Yang ditiru adalah bentuk secara keseluruhan. Sastera Melayu moden tetap asli dilihat dari aspek gaya, isi dan aneka teknik yang dikemukakan oleh penulis.

Kesusasteraan Melayu moden, sama ada di Malaysia atau Indonesia bermula dengan Abdullah Munsyi (1796-1854). Pada tahun 1838 terbitlah Kisah Pelayaran Abdullah karyanya dalam beberapa hal telah membawa pembaharuan serta begitu menyumbang daripada tradisi sastera sebelumnya. Zubir Usman dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Indonesia menyebut, Abdullah Munsyi sebagai pengarang melayu pertama keluar daripada kebiasaan yang melanggar dan mematahkan tradisi yang sudah turun temurun memalingkan penanya daripada menceritakan kisah-kisah ghaib atau khayalan. Kesusasteraan melayu moden terbahagi kepada novel, cerpen, drama, sajak, biografi dan kritikan sastera.

Novel

Merupakan jenis sastera yang disampaikan dalam bentuk prosa yang dikenali sebagai cereka. Jenis lain yang mengambil bentuk ini ialah cerpen. Novel dan cerpen mempunyai unsur-unsur sastera yang perlu dikongsi. Misalnya sesebuah novel tidak berlaku dalam kekosongan melainkan mempunyai ruang dan waktu-waktu yang tertentu. Setiap novel mempunyai pelaku untuk menggerakkan cerita. Pelaku dalam novel dinamai watak. Unsur ketiga dalam novel ialah plot atau jalan cerita. Plot terlihat peristiwa yang melibatkan watak-watak dalam perspektif ruang dan waktu yang tersendiri. Novel dihasilkan bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi turut menyampaikan pesanan atau amanat yang menjadi pokok persoalan yang dinamai tema.

Unsur-unsur ini tidak akan wujud jika bahasa yang menjadi media untuk diketengahkan tidak disampaikan dalam karya tersebut. Oleh itu pengarang perlu mempunyai satu gaya tertentu bagi menyampaikan cerita hingga wujud unsur-unsur dalam kesatuan bagi sesebuah cerita dalam kesepaduan.

Menurut Rahman Shaari, novel ialah karya fiksyen yang panjang, didalamnya terdapat watak-watak, latar, plot dan unsur-unsur fiksyen lain. Ceritanya mengandungi konflik, percubaan menyelesaikan konflik dan denoument (penyelesaian)

ASPEK-ASPEK PENTING DALAM NOVEL

Sebagai suatu karya sudah tentu ianya mempunyai struktur. Komponen atau bahagian struktur yang membina sesebuah karya itu ialah tema,persoalan, plot, teknik, sudut pandangan, perwatakan serta gaya bahasa. Komponen-komponen ini dipanggil sebagai unsur dalaman (intrinsik).

Unsur-unsur seperti latar belakang cerita dan pengarang, pergolakan masa, politik, sosio-ekonomi, pelajaran, agama dan di mana novel ini bersandar dinamakan unsur luaran (ekstrinsik)

UNSUR-UNSUR LUARAN (EKSTRINSIK)

Pengkajian dan penghayatan ekstrinsik dalam novel meliputi pengkajian biografi pengarang, riwayat hidup pengarang dengan penekanan kepada latar, sumbangan serta kepentingan, gambaran masyarakat meliputi pandangan hidup, kemasyarakatan serta kemanusiaan yang dikaitkan dengan zaman kelahiran karya tersebut. Begitu juga fungsi karya terhadap khalayak seperti memberi pendidikan, pengajaran, kepuasan estetik, sosial serta moral.

Pewarnaan setempat yang terdapat dalam novel berkaitan dengan latar belakang penghasilan karya serta latar masyarakat juga perlu dikaji. Pengkajian unsur-unsur luaran sesebuah novel juga perlu dilihat daripada aspek hubungan karya sastera dengan pengetahuan lain yang dikaitkan dengan agama, sejarah, kemanusiaan, kemasyarakatan serta mempunyai nilai murni dan unsur-unsur negatif serta positif.
UNSUR-UNSUR DALAMAN ( INTRINSIK )

Tema

Menurut Harry Shaw, tema ialah “the central and dominating idea in litery work”. Manakala makna yang sering digunakan dalam pembicaraan sastera ialah persoalan pokok yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Daripada persoalan pokok itu akan terbit persoalan sampingan yang lain.

Tema

1-PS
2-PS
4-PS
5-PS
3-PS
6-PS
7-PS
8-PS
9-PS
10 -PS

Terdapat 10 persoalan sampingan. Kesemua persoalan ini adalah pecahan daripada satu persoalan pokok yang dinamakan tema. Tema yang diungkap secara langsung dikenali sebagai tema eksplisit dan tema yang diungkapkan secara tidak langsung iaitu tema implisit.
Plot
Menurut E.M.Forster, plot ialah rentetan peristiwa yang berdasarkan sebab dan akibat.

Eksposisi – permulaan cerita / pendedahan watak-watak
Konflik – ketegangan / permasalahan yang berlaku dalam cerita
Klimaks – kemuncak sesebuah cerita
Peleraian – penyelesaian masalah / pengakhiran cerita.
Sudut Pandangan
Dikenali juga sebagai jurus pandangan yang digunakan oleh pengarang meletakkan kedudukan dirinya ketika mengembangkan plot sesebuah novel. Sudut pandangan terbahagi kepada 4 iaitu:

Sudut pandangan orang pertama
Cara ini sangat mudah dikesan oleh pembaca. Pengarang memasukkan watak “aku” atau “saya” dalam cerita yang merujuk kepada diri pengarang sendiri. Perkara yang dilakukan, difikirkan serta dirasakan oleh watak “aku” atau “saya” pernah dilalui oleh pengarang. Ianya sangat berkesan.

Sudut pandangan orang ketiga tidak terbatas/serba tahu
Pengarang berada diluar lingkungan cerita. Pengarang bertindak sebagai penggerak watak. Pengarang kenal setiap watak dengan terperinci seperti isi hati, perasaan dan segala-galanya tentang watak yang digerakkan.


Sudut pandangan orang ketiga terbatas
Pengarang berada di luar lingkungan cerita. Pengetahuan pengarang mengenai watak-watak adalah terbatas. Pengarang mungkin mengenali Salleh dari segi fizikal sahaja. Watak Omar cuma kelakuannya sahaja. Biasanya watak terhad kepada pergerakkan mereka atau watak sampingan.

Sudut pandangan objektif atau dramatik
Pengarang lebih bersifat pelopor. Pengarang hanya melaporkan apa yang dilihat seperti bentuk fizikal atau aksi pelaku-pelaku. Pengarang tidak mengetahui perasaan serta konflik yang ditanggung oleh watak. Sudut pandangan ini membawa maksud kesinambungan peristiwa yang dipaparkan secara dramatik, menggusarkan dan mencemaskan.

Watak dan Perwatakan
Watak adalah pelaku yang menggerakkan sesebuah cerita. Ianya bukan sahaja terdiri daripada manusia tetapi turut melibatkan haiwan dan sebagainya serta boleh diwakili oleh sesiapa sahaja bagi mengembangkan cerita dengan lebih jelas.

Perwatakan pula bermaksud penjelasan, penggambaran dan pendedahan perlakuan, sifat, dan percakapan watak-watak dalam sesebuah cerita. Perwatakan mungkin digambarkan secara langsung atau secara mendedahkannya melalui perlakuan watak. Kadangkala ia turut disampaikan secara tidak langsung melalui fikiran atau perasaan. Biasanya watak terbahagi kepada 3 iaitu:

Watak bulat (round character)
Watak yang aktif. Ada perubahan pemikiran, aksi atau perwatakan dari semasa ke semasa. Mungkin berlaku perubahan terhadap watak iaitu dari seorang yang jahat berubah menjadi seorang yang baik dan lain-lain.

Watak pipih (flat character)
Watak statik iaitu tiada perubahan. Watak akan kekal sebagaimana perwatakan dalam cerita dari mula hingga akhir. Watak pipih tidak akan mengejutkan pembaca. Teknik ini banyak diterapkan dalam novel Empangan.

Watak dinamik
Watak yang bergerak bukan sahaja dari segi fizikal malah juga pemikiran. Menurut Rahman Shaari, watak dinamik dalam novel adalah watak yang mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita.


Teknik Penceritaan
Merupakan cara isi disampaikan dalam sesebuah karya sastera. Terdapat 2 teknik penceritaan dalam novel sama ada secara langsung atau tidak langsung. Secara langsung melibatkan teknik pemerian manakala tidak langsung melalui teknik flashforward, suspens, flashback, interior monolog, dialog dan sebagainya.

Flashforward
Dikenali sebagai imbas muka / sorot muka. Merupakan gambaran peristiwa di masa depan yang benar-benar terjadi. Pembaca dapat berkira-kira tentang apa yang bakal berlakudalam perkembangan plot cerita.

Suspens
Merupakan ketegangan yang membuatkan pembaca tertanya-tanya apa yang akan terjadi selanjutnya. Pembaca akan berada dalam keadaan bimbang, resah serta tidak tenteram.

Pemerian
Merupakan pemaparan yang jelas, terperinci dan hidup tentang suasana latar dan peristiwa yang dialamai oleh watak. Ditampilkan dengan tujuan mencetuskan gambaran supaya suatu perkara itu benar-benar hidup dan munasabah kepada pembaca dasn berupaya menimbulkan daya imaginasi pembaca.

Denoument
Merupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas klimaks dan berkembang sebelum penyelesaian terakhir. Pengarang akan memuat resolusi dibahagian peleraian. Bahagianini juga disebut sebagai anti-klimaks. Terdapat terarahnya penentuan cerita dan nasib watak-watak.

Motif
Tujuan atau corak sesebuah karya sastera dihasilkan. Pengarang perlu mempunyai motif cerita yang kuat untuk disampaikan kepada khalayak.

Liemotif
Merupakan pengulangan suatu aspek khusus yang terungkap dalam karya cereka. Mungkin menggunakan pengulangan frasa, perkataan atau persoalan.


Ironi
Merupakan kata-kata yang membawa maksud lain daripada lain daripada yang sebenar atau lebih mudah disebut bahasa terbalik. Dalam ironi terselit sindiran halus atau kata-katanya yang maksudnya bertentangan dengan maksul literalnya. Contohnya kata-kata berikut memperlihat 1 ironi iaitu, “kita kian dekat apabila berjauhan”.

Ironi dramatik
Peranan watak yang kurang jelas / kabur tetapi dapat ditafsirkan oleh audiens melalui tindak-tanduk watak. Contohnya watak yang kabur peranannya pada awal dan pertengahan hanya dapat dikesan pada akhir cerita.

Ironi situasi
Wujudnya percanggahan antara sesuatu yang diharapkan dengan proses penciptaan. Atau dengan kata lain wujud pertentangan antara keadaan yang ada dengan keadaan yang sebenar yang berlaku.

Paradoks
Peristiwa yang berlaku dalam sesebuah novel dianggap mustahil tetapi sebenarnya memang berlaku dalam reality masyarakat. Contohnya, “pernah tersebut kata-kata pendita, tangan yang menghayun buaian dapat memerintah dunia! Tangan ini penuh hikmat”.

Lambang
Perkataan atau frasa yang digunakan melambangkan maksud lain daripada yang lain yang tersurat. Contohnya, “kumbang” melambangkan teruna dan “bunga” melambangkan gadis.

Gaya bahasa
Merupakan teknik yang paling penting dalam penghasilan karya novel. Gaya bahasa disebut juga sebagai style. Pengarang perlu mengambil perhatian dalam menentukan gaya bahasa yang sesuai. Contoh gaya bahasa ialah:

Personifikasi
Memberikan sifat manusia kepada benda, keadaan atau suasana. Contohnya, “angin waktu menyapa jendela”.


Metafora
Membandingkan sesuatu dengan keadaan yang. Mempunyai dua perkataan. Salah satu daripadanya adalah konkrit dan satu lagi adalah abstrak iaitu tidak nyata atau menjadi pembanding. Contohnya, “pohon-pohon menghijau embun bergantung dihujung daun”.

Simile
Membandingkan sesuatu dengan jelas. Menggunakan perkataan seperti, bagai, umpama, ibarat, bak dan laksana. Contohnya “ibarat si kera mendapat bunga”.

Paradoks
Melibatkan pertentangan yang dapat memberikan kebaikan. Contohnya, “aku mati dalam hidup”.
Hiperbola
Membawa kepada pernyataan yang berlebih-lebihan. Untuk menekankan suatu pandangan, pemikiran sera perasaan. Contohnya, “telinganya tajam, kecil, warna batu besi, tompok-tompok putih berbunga di perut, dahi talamnya menerima jalur”

Inversi
Bahasa terbalik sehingga menyimpang daripada tatabahasa. Contohnya, “yang mengajar makna berani katanya”. Sepatutnya diungkapkan sebagai “yang mengajar katanya makna berani”.

Metonimi
Kata-kata melambangkan status atau pangkat seperti “mahkota” melambangkan kedaulatan raja dan “tiga calit” bermaksud sarjan.
copyright : nekyam08...opsss...jiran sebelah rumah

Friday, June 6, 2008

"Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang"

Potensi atau bakat seseorang tidak bererti sekiranya tidak diterjemahkan kepada realiti. Proses penterjemahan ini boleh diistilahkan sebagai pendidikan yang berlaku setiap saat dengan cara formal atau tidak formal sepanjang hayat. Justeru kekuatan individu dan bangsa bergantung kepada potensi diri yang diterjemahkan ke alam nyata.

Pendidikan di sini bukan sahaja melibatkan pembelajaran secara formal yang menjurus ke arah pensijilan semata-mata tatapi juga turut merangkumi proses pembelajaran secara tidak formal dengan ibu bapa dan persekitaran sebagai muabbid. Bagai usul merujuk asal, bahasa menunjukkan bangsa, daun mengenalkan pohon kecemerlangan pendidikan menabur urai kupasan lima aspek berikut:

Pendidikan membina generasi bermoral
Pendidikan membentuk perpaduan
Pendidikan menyemai kecintaan terhadap tanah air
pendidikan melahirkan intelek berwibawa.
pendidikan menjadi asas pemimpin berkarisme.


Pendidikan membina generasi bermoral.
Moral dan etika bukan pusaka turunan untuk dibawa bersama ketika lahir tetapi dipupuk dan dibajai dalam diri dan nurani insan melalui asuhan dan bimbingan yang berterusan. Secara tidak formal ibu bapa menjadi figura kepada anak-anak manakala dalam pendidikan formal menjurus ke arah kurikulum kebangsaan. Nilai-nilai murni di lihat merentasi pelbagai cabang isisan ilmu. Pemantapan sahsiah tidak lagi tertumpu kepada mata pelajaran pendidikan islam dan moral sahaja. Impaknya generasi bermoral yang dilahirkan menjadi asset penting Negara, tidak mudah terpengaruh dengan gejala negative seterusnya dapat mengelak daripada menjadi pemimpin korup yang membinasakan Negara.

Pendidikan membentuk perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.
Pendidikan tidak pernah meletakkan batas kaum, agama, fahaman dan warna kulit sebagai penghalang untuk mendapatkan ilmu. Malah melalui pendidikan batas-batas tersebut mampu dihapuskan. Contohnya matlamat untuk mewujudkan sekolah wawasan adalah bagi merealisasikan integrasi nasional dengan menggalakkan persefahaman kaum pada peringkat kanak-kanak lagi, meningkatkan perasaan saling mengenali budaya antara satu sama lain dan pada masa yang sama masih terus mempertahan identiti masing-masing. Konsep sekolah wawasan pula dipraktikkan sebagai salah satu usaha melahirkan anak bangsa Malaysia yang bersifat cintakan Negara. Pendidikan sebagai wahana perpaduan dan patriotisme mampu mengekang serta menghalang peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada terus berulang.

Pendidikan melahirkan intelek berwibawa dan pemimpin berkarisma.
Cabaran dunia global masa kini memperlihat keupayaan Malaysia bersaing dengan Negara maju dalam pelbagai bidang merangkumi sektor perindustrian, pembuatan, automobil dan sebagainya. Gahnya Negara pada hari ini adalah rentetan sejarah kecemerlangan anak bangsa bermula dengan ketokohan Tunku Abdul Rahman, kebijaksanaan Tun Abdul Razak, keprihatinan Tun Hussein Onn, keterampilan Tun Dr Mahathir, kewibawaan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di samping pemimpin lain yang berjasa. Mereka tegak disokong dengan latar belakang pendidikan yang mantap, sahsiah yang dikagumi, disempurnakan lagi dengan kepintaran yang menjadi mekanisme untuk mengubah Malaysia dari sebuah Negara kecil yang sering diperlekehkan menjadi sebuah Negara yang disegani, dihormati dan stabil dari segi ekonomi, politik, sosial dan punya budaya yang unik. Ironinya, Negara besar yang dahulunya menjadikan Malaysia sebagai taklukan kini menganggap Malaysia sebagai contoh dan rakan dalam membangunkan Negara mereka. Sementara itu, tokoh-tokoh ilmuan islam seperti Al-Biruni, Al-Tabrani, Al-Razi dan Al-Farabi misalnya turut mencatatkan kecemerlangan dalam sejarah keagungan dunia sekaligus menjulang kegemilangan empayar islam pada zaman tersebut. Nah, lihatlah betapa pendidikan mampu mengubah martabat bukan sahaja individu malah menjadikan sesebuah Negara itu lebih dihormati.

Konklusinya, Negara yang mempunyai potensi untuk dimajukan jika tidak disokong dengan sistem pendidikan yang mantap umpama tanah subur di ladang yang tidak diusahakan. Benih yang baik juga jika tidak disemai, dibaja dan dijaga dengan sempurna tidak akan memberi apa-apa makna. Tegasnya pendidikan yang berkesan akan melahirkan generasi berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan berdaya saing untuk meletakkan nama Negara duduk sama rendah berdiri sama tinggi di mata dunia. Oleh itu marilah kita bersama-sama memartabatkan sistem pendidikan Negara. Justeru “Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang”.

copyright: nekyam08...opsss...jiran sebelah rumah

Wednesday, June 4, 2008

DuGaAn - MOHAZRIE

Bersungguhkah
Engkau dalam percintaan
Beranikah
Menempuh dugaan
Keranaku bimbang
Kau tak mampu untuk bersama
Menghadapi rintangan di hari muka

Bukan mudah
Untuk menguji hatimu
Bukan maksud
Menolak cintamu terhadapku
Harap kau bertahan
Bukan hanya dipermulaan
Ku tak ingin lagi mengejar bayang

Entahkah apa gerangan
Jiwaku rasa tertekan
Setelah lama...Ditinggalkan sunyi tanpa berteman
Berinya kenangan silam
Ku harap tidak berulang
Tak ingin lagi
Aku dilukai
Memang banyak dugaan
Terpaksa ku pertaruhkan
Terhadapmu
Maafkanlah aku

Kekasihku
Dugaan datang menguji
Tiada erti
Tanpa kesungguhan yang kau beri
Kan terbenam nanti
dan
Yang rapuh gagah berdiri
Andai kita mungkin
Berpegang janji

copyright: nekyam08.....opsss...jiran sebelah rumah

Monday, June 2, 2008

Ikhlas - MOHAZRIE

Saat dunia
Berhenti berputar
Saat manusia
Tak sanggup lagi berharap

Ketika mentari
Tak sanggup lagi berjanji
Menyinari dunia yang bakal singgahi

Mampukah kau untuk berbagi-bagi
Tanpa hasrat ingin diberi
Di hadapan-Nya
Di hadapanmu Ya Allah

Sesungguhnya manusia takkan bisa
Menikmati syurga
Tanpa ikhlas dihatinya

Sesungguhnya manusia takkan bisa
Menyentuh nikmatnya
Tanpa tulus dihatinya

copyright: nekyam08.....opsss...jiran sebelah rumah

BERSERAH - MOHAZRIE

Gerhana meliputi segala
Tiada lagi sinaran cahaya
Keinginan tanpa kepastian
Tak mampu rasanya ku teruskan
Ku meneruskan…

Biarlah kurelakan segala
Dalam hidupku sebuah tanda tanya
Mengapa?
Biarpun tak mampu ku bertahan
Takkan pernah ku akui kalah

Tiada jalan mugkin ku lalui
Haruskah hidupku dipersenda
Mengharungi duka tak melanda
Ku berserah…..

Tuhanku…..
Ku relakan segala
Takkan pernah ku akui kalah
Percaya ku yakin pada-Nya
Dia yang menentukan semua
Ku berserah….

copyright: nekyam08.....opss...jiran sebelah rumah

Di Sini - MOHAZRIE

Ketika itu
Aku hanya mampu merobek impianku ke tepi
Hidup dalam lindungan
Menyembunyi diri

Ketika itu
Aku merasa takut
Kerna kusangka diri berada dipenghujung …
Tetapi ku mampu
Mampu mengharungi dunia kecintaan yang kejam

Di sini
Aku mampu bernafas walau sesaat
Aku mampu melihat
Aku mampu melihat mereka yang menyayangi diriku
Tidak membiarkan
Aku ketakutan
Untuk
Berlabuh dan berlalu bersama bayang dan keraguan
Hanya itu
Ku tetap berpasak teguh di sini

Aku harus memutus
Dalam selamat aku kecundang
Dalam bahaya aku tersandung
Atau
Melihat selusuran yang dalam
Dan megubah suatu kesukaran
Mencari kekuatan menggenggam ketulusan

Aku semakin berani tidak seperti dulu
Melunas impian
Yang menanti pasti
Di penghujung jalan
Di sini ……
Tetap di sini…

copyright: nekyam08.....opsss...jiran sebelah rumah

PANTANG LARANG ORANG MELAYU - MOHAZRIE

Anak keli di dalam Lumpur
Nampak pengail larikan diri
Anak dara menyanyi di dapur
Alamat tualah bakal suaminya

Dihidang lemang bersama ketupat
Untuk santapan di Aidifitri
Teruna makan beralih tempat
Kelak mempunyai ramai isteri

Bila hendak mencari menantu
Pilih orang bersifat penyayang
Kalau gadis duduk dipintu
Tiada orang sudi meminang

Bunga tanjung bunga kenanga
Kini bertabur merata-rata
Kalau meratah ikan dibelanga
Orang lain bencikan kita

Dara genit sedang berkhayal
Terkenang hari peristiwa lalu
Jika tidur tidak berbantal
Bila dah kahwin bertumbuk selalu

Banyak sungguh si buah bacang
Lalu dihiris di atas dulang
Makan berdiri pinggan di tatang
Alamat kekasih dirampas orang

Sudah lama tidak memandang
Sampai masa kita bersua
Kalau gadis lmelangkah dulang
Kelak menjadi anak dara tua

Panglima Tuah bersemangat kental
Namun hatinya mudah tersinggung
Kalau duduk berlapik bantal
Nanti melekat bisul di punggung

Anak gadis sedang menampi
Lalu ternampak teruna pertiwi
Nasi dimakan terlekat di pipi
Alamat mendapat anak tiri

Ada orang sedang bersin
Kerana hidung diintai nyamuk
Bila makan didalam besen
Alamat dapat isteri yang gemuk


copyright: nekyam08.....opsss...jiran sebelah rumah

IBU - MOHAZRIE

Sebening titisan embun pagi
Secerah sinarnya mentari
Bilaku tatap wajahmu ibu
Ada kehangatan didalam hatiku

Air wudhuk selalu membasahimu
Ayat suci selalu dikumandagkan
Suaramu penuh keluh dan kesah
Berdoa untuk putera puterinya

Oh ibuku
Engkaulah wanita
Yang kucinta selama hidupku
Maafkan anakmu
Jika ada salah
Pengorbanan mu tanpa balas jasa

Ya Allah
Ampuni dosanya
Sayangilah seperti menyayangiku
Berilah ia kebahagiaan
Di dunia juga di akhirat


copyright: nekyam08.....opsss...jiran sebelah rumah

Nur dan Wanita - MOHAZRIE

Hari berpacu meninggalkan desah berpasak
Dari KLCC yang sayup hingga
Sedatar dataran merdeka
Siapakah tamu yang bersidai di lorong-lorong?
Jika bukan wanita, jantina apakah
Yang menggoda, dan menanggalkan celananya?
Mari nyalakan pelita dari sumbu kemanusiaan
Menerangi akal danbudi hidup dan mati

Wanita adalah semulia umat
Di hatinya ada nur taak pernah kelat
Kerana perjalanan masih panjang
Tak rugi kita bunuh sebuah nafsu
Di saat begini dunia kian tua
Tak dapat diusap masa kecilnya
Takj akan kembali masa remaja
Belum terlambat
Mari keluar dari lorong
Merempuh jalan utama nan lebar
Ingatlah…… tuhan ada di mana-mana

Banyak jalan menuju hari depan yang manis
Jangan menoleh
Esok tak pernah menanti
Wanita adalah wanita
Dilahirkan sebagai wanita
Biar sang jejaka sedar dunianya

copyright: nekyam08.....opsss....jiran sebelah rumah

BeNgKeL PeNuLiS MuDa JoHoR 2008

SEMUANYA BERMULA DI SINI...

MENYUSURI SUNGAI MUAR

Ku Cari Kedamaian Yang Abadi

Ilham...... Di mana kau????

Kak Shima oi.....Apa yang ada di fikiranmu??? opssss

Opssss... jangan marah....
__________________________________________________

SENSITIVITI SEBAGAI PENULIS

Sesungguhnya... manusia bukanlah....ehhhhhh ingatkan ceramah.... sorry naik lori......

Khusyuk nya.........

Kak Min... cayo...cayo.... Belasah tetap belasah...... janji Redahhhhhhhhhhhhh

Mr. Lee.....the Inspiration.....





___________________________________________________


NGODOK KUPAT NENG NGISOR ONDO

GODONGE NIPAH DI GAWE ATAP

SALAH SILAPKU NJALUK NGAPURO

KE TEMU MENEH NENG TAUN NGAREP


Wahai Arill si budak Vibrate musuh ketatku..... ko jangan macam-macam.......

Kak Min operate lah dada X-ray lah hati.........Jangan Marah......

Kak Min senyum...... jangan simpan senyum tu......janji terlebih.... ehhhhhhh!!!

Kenangan bersama Kak Nisa Haron ...........ehhhhhh... Kak Shima enterframe jugak..................


With Daus the champion.....


He were the champion my friend...He keep on fighting to the end.....


and.......alamak lupa lirik pulak

Mak aiiiiiiiiiii...... nak jugak budak ni enterframe.........


Wan-KD (nekyam08) , Kak Rina & Syahrill ( budak Vibrate)




Bersama Kak Zetty.........Tq for everything....

SELAMAT TINGGAL.... JUMPA DI BENGKEL PENULISAN YANG AKAN DATANG...

SEKALI MENULIS TERUS MENULIS

INGAT PESANANKU

POTENSI ATAU BAKAT SESEORANG TIDAK BERERTI SEKIRANYA TIDAK DITERJEMAHKAN KEPADA REALITI. PROSES PENTERJEMAHAN INI BOLEH DIISTILAHKAN SEBAGAI PENDIDIKAN YANG BERLAKU SETIAP SAAT DENGAN CARA FORMAL ATAU TIDAK FORMAL. JUSTERU KEKUATAN INDIVIDU DAN BANGSA BERGANTUNG KEPADA POTENSI DIRI YANG DIJELMAKAN KE ALAM NYATA





copyright:

nekyam08...opsss...jiran sebelah rumah






































































































































































































DEQ-1 gosong © 2008 Template by:
SkinCorner