Saturday, June 14, 2008

"Antologi Suara Bukit Timbalan"

Antologi Puisi Suara Bukit Timbalan ini adalah usaha Mohd Rosli Bakir, Siti Hadijah Sunok dan dibantu oleh Hamzah Hamdani. Kesungguhan mereka wajar dihargai dalam memperkaya penghasilan puisi-puisi. Antologi Puisi Suara Bukit Timbalan ini menampilkan penulis-penulis yang merupakan anak jati negeri johor. Antologi ini diterbitkan adalah lambang signifikan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia. Antologi ini turut menyelitkan 2 buah puisi yang merupakan hasil karya bekas guru di sekolah saya sendiri. Mereka ialah Cikgu Taufek Mahamud dan juga Cikgu Sulaiman Md Nor. Saya sangat berbangga kerana negeri johor mempunyai ramai penulis. Dan saya berharap agar suatu hari nanti karya yang saya hasilkan akan dapat diterbitkan oleh mana-mana pihak. InsyaAllah


Mohd Taufek Mahamud
Tekad Bangsa

Telah terbukti dilembar sejarah
kita adalah warga jati diri gemilang
yang lahir dari kandungan negeri bermukim segala
keberanian
lalu bermaknakan erti merdeka tinggalan warisan
pejuang
untuk mengukir tamadun membina kota warisan

Telah kita semai benih terpilih
menjadi bunga harapan yang mekar ditaman peradaban
wanginya harum merentasi sempadan
ibarat perwira yang menggalas tekad misi keamanan
memperteguh rasa kemanusiaan di gelanggang
kedamaian

Telah kita gembleng iltizam memartabatkan bangsa
berpaksi budaya mulia menjunjung agama mulia
menabur benih-benih jasa memakmurkan nusa
menjana kecemerlangan memacu tenaga ke menara
merdeka

Malaysia tercinta gagah gemilang
mengukuh perpaduan menggapai kemakmuran
mengisi daulat maruah negara perkasa generasi
berjaya



Sulaiman Md Nor
Bentala Johor Tercinta


Haruman mekar mewangi namamu di persada ini
membentuk kemilau martabat bangsa
menjunjung gah warna bahaduri

Betapa sejahteranya watan tercinta meniti arus
peradaban
tanpa resah
tanpa kata gundah
tanpa ada musibah
haluannya menara terindah puncak terarah
pucuk bermaruah

Indahnya kiraanamu mengukir nada penuh ibadat
terungkap senandung atas nama bahari
mentakhlikkan wajah-wajah penuh semarak
wajah-wajah padat tasdik
wajah-wajah mutlak kehendak

Di mana buana diinjak di situ jumantara
dijunjung
kilauan permata tak pernahhilang dari lipatan
sejarah
menggalas kehangatan tanah pertiwi
menelusuri panasnya jiwa merdeka
mewariskan takhta perjuangan yang tidak
kunjung padam
mendewasakan keringat gugur penuh nama restu
menjernihkan kepulan awan mencorak ukiran
pelangi
kekal indah dalam taman kepastian

Puteri Gunung Ledang lagendanya terkarang
Tanah Bentan lambang kedaulatan bangsa terbilang
Tanjung Penawar Tanjung Pengelih tampil tidak beralih
Bandar Maharani namamu terpamer hingga kini
Batu Hampar Batu Sawar asal-usulmu pasti tak pudar
Batu Pahat Kluang ada cerita tak pernah hilang
Tanjung Puteri siuman dalam adunan rentak berseri

Bentala johor makmurmu sejagat tuah gemilang
molekmu gegar seluruh alam
mekar menjurus hala tampak sinar

"GENDANG ASWARA"

Di sinilah tempatnya yang menyimpan segala khazanah warisan budaya negara, pusat rujukan dan pembelajaran dalam bidang seni, ASWARA menyaksikan kelahiran generasi baru bergelar karyawan, seniman serta penggiat seni.

Pertama kali menjejakkan kaki di halaman ASWARA, saya sukar mengalih pandangan daripada menatap kagum bangunan utama berbentuk rebana ubi. Bangunan utama itu adalah perpustakaan. la dibina setinggi enam tingkat dan berdinding kaca, seni binanya sengaja diilhamkan sebegitu sebagai lambang kepada alat muzik tradisional Melayu.
Melalui binaan perpustakaan bentuk rebana ubi, ASWARA terus gah demi memartabatkan seni budaya bersama para pendidik yang bertekad untuk mengembangkan warisan seni dan juga sebagai sumber maklumat serta pusat pendidikan seni budaya dan warisan Melayu terulung.
Mengetengahkan logo berbentuk pohon beringin atau gunung yang membawa maksud lambang kejayaan dalam wayang kulit. la dilihat sebagai puncak kejayaan dan payung yang menaungi kehidupan. Simbol puncak dan naungan inilah menjadi lambang ASWARA bagi menyatakan ilmu sebagai unsur paling bernilai dalam hidup seseorang, ia diilhamkan oleh Seniman Negara Pertama, Allahyarham Hamzah Awang Amat.

Corak beralun pada dinding bangunan dikaitkan dengan gelombang bunyi rebana ubi yang dipalu, menyemarakkan lagi seruan atau panggilan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu dalam bidang yang dimaksudkan. Matlamat utama ASWARA adalah menjadi institusi induk pengajian dan latihan seni serta budaya terunggul di rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, pembinaan kampus tetap ASWARA sangat dialu-alukan kerana bertujuan menyediakan prasarana sesuai untuk pelaksanaan program latihan dalam bidang pendidikan kesenian. Kerajaan bersetuju membina kampus tetap ASWARA supaya matlamat menyediakan bimbingan dan latihan bermutu dalam bidang kesenian kebudayaan dan warisan dapat dilaksanakan.

Rentetan sejarah penubuhan ASWARA bermula pada 1971 dengan Resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Pada 16 Mei 1990 jemaah menteri membuat keputusan supaya ditubuhkan sekolah seni persembahan (school of fine art). Lalu ditubuhkan Urusetia Penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) di Bahagian Kebudayaan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) di Tingkat 34 Menara Datuk Onn pada 1993.

Tarikh keramat 10 Julai 1994 menyaksikan pendaftaran pelajar pertama ASK peringkat diploma di kampus sementaranya di Kompleks Budaya Negara, Jalan Tun Ismail. Upacara konvo pertama ASK pula diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) pada 1998 manakala pelaksanaan program sijil berkuat kuasa pada 1999. Dalam tahun 2002, JPA dan Kementerian Pendidikan mengiktiraf program diploma ASK dan pada tahun 2005 pula Akademi Filem Malaysia diserapkan ke dalam ASK di bawah Jabatan Filem, TV dan Video. Pada 1 Ogos lalu ASK dinaik taraf menjadi ASWARA, ditadbir oleh Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 dibawah kuasa-kuasa MKKDW.

Sebuah IPT bertaraf universiti, kini ASWARA berada di lokasi 464, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur yang dahulunya menempatkan Kompleks Budaya Negara. Kampus yang terletak berhampiran padang Merbuk berkeluasan 3.318 hektar itu memiliki 11 blok berukuran 8,537.8 meter persegi bagi memenuhi keperluan dan kemudahan pembelajaran bidang pengajian tari, teater, penulisan,muzik, filem, tv serta video. Antara yang disediakan seperti dewan kuliah, bilik seminar, makmal komputer, dewan orkestra, bengkel pertukangan, studio tari, studio teater, studio wayang kulit, studio gamelan/cak lempong, studio rekaan grafik, perpustakaan, studio rakaman dan asrama.

Melengkapi segala kemudahan terbaru itu, Panggung Eksperimen yang penuh sejarah dan berusia 13 tahun kini dilengkapi kecanggihan sistem audio, sistem lampu dan sistem rakaman pelbagai trek audio di samping sistem Multi Camera Production (MCP) bernilai RM 1.4 juta.
Memenuhi tuntutan pembelajaran muzik, ASWARA juga menyediakan Dewan Orkestra yang mempunyai sistem akustik, sistem audio, sistem lampu dan sistem rakaman pelbagai trek audio bernilai RM 1.48 juta. Para pelajar juga disediakan kemudahan bilik latihan individu lengkap dengan sistem akustik kemudahan studio rakaman audio yang canggih bernilai RM1 juta bersama sistem rakaman digital pelbagai trek.

Pelajar teater pula disediakan dengan Black Box (makmal teater) yang mempunyai sistem akustiknya berserta kemudahan teknikal sistem audio dan sistem lampu bernilai RM550,000. Manakala pelajar di bawah pengajian Filem dan Video tidak diabaikan apabila ASWARA memenuhi tuntutan pembelajaran mereka dengan makmal komputer animasi dan sistem Non Linear Editing bernilai RM600,000.

Pun begitu segala peralatan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan pengajaran dan pembelajaran serta pertambahan jumlah pelajar. ASWARA menawarkan program pengajian dari peringkat sijil dengan tempoh pengajian selama 14 minggu iaitu, Sabtu dan Ahad; peringkat diploma iaitu, pengajian selama tiga tahun (enam semester) dan kemasukannya setahun sekali serta peringkat ijazah. Terdapat lima bidang untuk peringkat Diploma iaitu, Jabatan Teater, Jabatan Penulisan, Jabatan Tari, Jabatan Filem dan Video dan Jabatan Muzik. Dua pengajian baru diperkenalkan iaitu, Pengajian Warisan (Pemuziuman dan Kearkiban) dan Pengajian Seni Halus. Untuk mendapatkan maklumat lanjut layari laman web ASWARA http://www.aswara.edu.my/.



Bangunan perpustakaan ASWARA diilhamkan daripada rekabentuk rebana ubi

Kawasan rehat bagi pelajar ASWARA


Tempat pelajar berbincang dan mencari ilmu


Bumbung berlapis dan berlebar layar mengindahkan seni bina bangunan di situ





Bahagian dalam perpustakaan menjelaskan lagi keindahan senibina bangunan

Panggung eksperimen telah menjadi pusat aktiviti seni




Dewan Orkestra




Irama dan Lagu tidak dapat dipisahkan





Persembahan bangsawan

Persembahan wayang kulit ASWARA

Pemantauan Sistem Audio

SEMUANYA ADA DI SINI

Link Post: http://www.heritage.gov.my/upload/keratan_akhbar/2007/200704AnjungSeri02/

DEQ-1 gosong © 2008 Template by:
SkinCorner