Friday, June 6, 2008

"Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang"

Potensi atau bakat seseorang tidak bererti sekiranya tidak diterjemahkan kepada realiti. Proses penterjemahan ini boleh diistilahkan sebagai pendidikan yang berlaku setiap saat dengan cara formal atau tidak formal sepanjang hayat. Justeru kekuatan individu dan bangsa bergantung kepada potensi diri yang diterjemahkan ke alam nyata.

Pendidikan di sini bukan sahaja melibatkan pembelajaran secara formal yang menjurus ke arah pensijilan semata-mata tatapi juga turut merangkumi proses pembelajaran secara tidak formal dengan ibu bapa dan persekitaran sebagai muabbid. Bagai usul merujuk asal, bahasa menunjukkan bangsa, daun mengenalkan pohon kecemerlangan pendidikan menabur urai kupasan lima aspek berikut:

Pendidikan membina generasi bermoral
Pendidikan membentuk perpaduan
Pendidikan menyemai kecintaan terhadap tanah air
pendidikan melahirkan intelek berwibawa.
pendidikan menjadi asas pemimpin berkarisme.


Pendidikan membina generasi bermoral.
Moral dan etika bukan pusaka turunan untuk dibawa bersama ketika lahir tetapi dipupuk dan dibajai dalam diri dan nurani insan melalui asuhan dan bimbingan yang berterusan. Secara tidak formal ibu bapa menjadi figura kepada anak-anak manakala dalam pendidikan formal menjurus ke arah kurikulum kebangsaan. Nilai-nilai murni di lihat merentasi pelbagai cabang isisan ilmu. Pemantapan sahsiah tidak lagi tertumpu kepada mata pelajaran pendidikan islam dan moral sahaja. Impaknya generasi bermoral yang dilahirkan menjadi asset penting Negara, tidak mudah terpengaruh dengan gejala negative seterusnya dapat mengelak daripada menjadi pemimpin korup yang membinasakan Negara.

Pendidikan membentuk perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.
Pendidikan tidak pernah meletakkan batas kaum, agama, fahaman dan warna kulit sebagai penghalang untuk mendapatkan ilmu. Malah melalui pendidikan batas-batas tersebut mampu dihapuskan. Contohnya matlamat untuk mewujudkan sekolah wawasan adalah bagi merealisasikan integrasi nasional dengan menggalakkan persefahaman kaum pada peringkat kanak-kanak lagi, meningkatkan perasaan saling mengenali budaya antara satu sama lain dan pada masa yang sama masih terus mempertahan identiti masing-masing. Konsep sekolah wawasan pula dipraktikkan sebagai salah satu usaha melahirkan anak bangsa Malaysia yang bersifat cintakan Negara. Pendidikan sebagai wahana perpaduan dan patriotisme mampu mengekang serta menghalang peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada terus berulang.

Pendidikan melahirkan intelek berwibawa dan pemimpin berkarisma.
Cabaran dunia global masa kini memperlihat keupayaan Malaysia bersaing dengan Negara maju dalam pelbagai bidang merangkumi sektor perindustrian, pembuatan, automobil dan sebagainya. Gahnya Negara pada hari ini adalah rentetan sejarah kecemerlangan anak bangsa bermula dengan ketokohan Tunku Abdul Rahman, kebijaksanaan Tun Abdul Razak, keprihatinan Tun Hussein Onn, keterampilan Tun Dr Mahathir, kewibawaan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di samping pemimpin lain yang berjasa. Mereka tegak disokong dengan latar belakang pendidikan yang mantap, sahsiah yang dikagumi, disempurnakan lagi dengan kepintaran yang menjadi mekanisme untuk mengubah Malaysia dari sebuah Negara kecil yang sering diperlekehkan menjadi sebuah Negara yang disegani, dihormati dan stabil dari segi ekonomi, politik, sosial dan punya budaya yang unik. Ironinya, Negara besar yang dahulunya menjadikan Malaysia sebagai taklukan kini menganggap Malaysia sebagai contoh dan rakan dalam membangunkan Negara mereka. Sementara itu, tokoh-tokoh ilmuan islam seperti Al-Biruni, Al-Tabrani, Al-Razi dan Al-Farabi misalnya turut mencatatkan kecemerlangan dalam sejarah keagungan dunia sekaligus menjulang kegemilangan empayar islam pada zaman tersebut. Nah, lihatlah betapa pendidikan mampu mengubah martabat bukan sahaja individu malah menjadikan sesebuah Negara itu lebih dihormati.

Konklusinya, Negara yang mempunyai potensi untuk dimajukan jika tidak disokong dengan sistem pendidikan yang mantap umpama tanah subur di ladang yang tidak diusahakan. Benih yang baik juga jika tidak disemai, dibaja dan dijaga dengan sempurna tidak akan memberi apa-apa makna. Tegasnya pendidikan yang berkesan akan melahirkan generasi berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan berdaya saing untuk meletakkan nama Negara duduk sama rendah berdiri sama tinggi di mata dunia. Oleh itu marilah kita bersama-sama memartabatkan sistem pendidikan Negara. Justeru “Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang”.

copyright: nekyam08...opsss...jiran sebelah rumah

DEQ-1 gosong © 2008 Template by:
SkinCorner