Saturday, June 14, 2008

"GENDANG ASWARA"

Di sinilah tempatnya yang menyimpan segala khazanah warisan budaya negara, pusat rujukan dan pembelajaran dalam bidang seni, ASWARA menyaksikan kelahiran generasi baru bergelar karyawan, seniman serta penggiat seni.

Pertama kali menjejakkan kaki di halaman ASWARA, saya sukar mengalih pandangan daripada menatap kagum bangunan utama berbentuk rebana ubi. Bangunan utama itu adalah perpustakaan. la dibina setinggi enam tingkat dan berdinding kaca, seni binanya sengaja diilhamkan sebegitu sebagai lambang kepada alat muzik tradisional Melayu.
Melalui binaan perpustakaan bentuk rebana ubi, ASWARA terus gah demi memartabatkan seni budaya bersama para pendidik yang bertekad untuk mengembangkan warisan seni dan juga sebagai sumber maklumat serta pusat pendidikan seni budaya dan warisan Melayu terulung.
Mengetengahkan logo berbentuk pohon beringin atau gunung yang membawa maksud lambang kejayaan dalam wayang kulit. la dilihat sebagai puncak kejayaan dan payung yang menaungi kehidupan. Simbol puncak dan naungan inilah menjadi lambang ASWARA bagi menyatakan ilmu sebagai unsur paling bernilai dalam hidup seseorang, ia diilhamkan oleh Seniman Negara Pertama, Allahyarham Hamzah Awang Amat.

Corak beralun pada dinding bangunan dikaitkan dengan gelombang bunyi rebana ubi yang dipalu, menyemarakkan lagi seruan atau panggilan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu dalam bidang yang dimaksudkan. Matlamat utama ASWARA adalah menjadi institusi induk pengajian dan latihan seni serta budaya terunggul di rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, pembinaan kampus tetap ASWARA sangat dialu-alukan kerana bertujuan menyediakan prasarana sesuai untuk pelaksanaan program latihan dalam bidang pendidikan kesenian. Kerajaan bersetuju membina kampus tetap ASWARA supaya matlamat menyediakan bimbingan dan latihan bermutu dalam bidang kesenian kebudayaan dan warisan dapat dilaksanakan.

Rentetan sejarah penubuhan ASWARA bermula pada 1971 dengan Resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Pada 16 Mei 1990 jemaah menteri membuat keputusan supaya ditubuhkan sekolah seni persembahan (school of fine art). Lalu ditubuhkan Urusetia Penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) di Bahagian Kebudayaan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) di Tingkat 34 Menara Datuk Onn pada 1993.

Tarikh keramat 10 Julai 1994 menyaksikan pendaftaran pelajar pertama ASK peringkat diploma di kampus sementaranya di Kompleks Budaya Negara, Jalan Tun Ismail. Upacara konvo pertama ASK pula diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) pada 1998 manakala pelaksanaan program sijil berkuat kuasa pada 1999. Dalam tahun 2002, JPA dan Kementerian Pendidikan mengiktiraf program diploma ASK dan pada tahun 2005 pula Akademi Filem Malaysia diserapkan ke dalam ASK di bawah Jabatan Filem, TV dan Video. Pada 1 Ogos lalu ASK dinaik taraf menjadi ASWARA, ditadbir oleh Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 dibawah kuasa-kuasa MKKDW.

Sebuah IPT bertaraf universiti, kini ASWARA berada di lokasi 464, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur yang dahulunya menempatkan Kompleks Budaya Negara. Kampus yang terletak berhampiran padang Merbuk berkeluasan 3.318 hektar itu memiliki 11 blok berukuran 8,537.8 meter persegi bagi memenuhi keperluan dan kemudahan pembelajaran bidang pengajian tari, teater, penulisan,muzik, filem, tv serta video. Antara yang disediakan seperti dewan kuliah, bilik seminar, makmal komputer, dewan orkestra, bengkel pertukangan, studio tari, studio teater, studio wayang kulit, studio gamelan/cak lempong, studio rekaan grafik, perpustakaan, studio rakaman dan asrama.

Melengkapi segala kemudahan terbaru itu, Panggung Eksperimen yang penuh sejarah dan berusia 13 tahun kini dilengkapi kecanggihan sistem audio, sistem lampu dan sistem rakaman pelbagai trek audio di samping sistem Multi Camera Production (MCP) bernilai RM 1.4 juta.
Memenuhi tuntutan pembelajaran muzik, ASWARA juga menyediakan Dewan Orkestra yang mempunyai sistem akustik, sistem audio, sistem lampu dan sistem rakaman pelbagai trek audio bernilai RM 1.48 juta. Para pelajar juga disediakan kemudahan bilik latihan individu lengkap dengan sistem akustik kemudahan studio rakaman audio yang canggih bernilai RM1 juta bersama sistem rakaman digital pelbagai trek.

Pelajar teater pula disediakan dengan Black Box (makmal teater) yang mempunyai sistem akustiknya berserta kemudahan teknikal sistem audio dan sistem lampu bernilai RM550,000. Manakala pelajar di bawah pengajian Filem dan Video tidak diabaikan apabila ASWARA memenuhi tuntutan pembelajaran mereka dengan makmal komputer animasi dan sistem Non Linear Editing bernilai RM600,000.

Pun begitu segala peralatan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan pengajaran dan pembelajaran serta pertambahan jumlah pelajar. ASWARA menawarkan program pengajian dari peringkat sijil dengan tempoh pengajian selama 14 minggu iaitu, Sabtu dan Ahad; peringkat diploma iaitu, pengajian selama tiga tahun (enam semester) dan kemasukannya setahun sekali serta peringkat ijazah. Terdapat lima bidang untuk peringkat Diploma iaitu, Jabatan Teater, Jabatan Penulisan, Jabatan Tari, Jabatan Filem dan Video dan Jabatan Muzik. Dua pengajian baru diperkenalkan iaitu, Pengajian Warisan (Pemuziuman dan Kearkiban) dan Pengajian Seni Halus. Untuk mendapatkan maklumat lanjut layari laman web ASWARA http://www.aswara.edu.my/.



Bangunan perpustakaan ASWARA diilhamkan daripada rekabentuk rebana ubi

Kawasan rehat bagi pelajar ASWARA


Tempat pelajar berbincang dan mencari ilmu


Bumbung berlapis dan berlebar layar mengindahkan seni bina bangunan di situ





Bahagian dalam perpustakaan menjelaskan lagi keindahan senibina bangunan

Panggung eksperimen telah menjadi pusat aktiviti seni




Dewan Orkestra




Irama dan Lagu tidak dapat dipisahkan





Persembahan bangsawan

Persembahan wayang kulit ASWARA

Pemantauan Sistem Audio

SEMUANYA ADA DI SINI

Link Post: http://www.heritage.gov.my/upload/keratan_akhbar/2007/200704AnjungSeri02/

0 comments:

DEQ-1 gosong © 2008 Template by:
SkinCorner